TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Siram air panas, cucuh pemetik api pada kaki anak 9 tahun gara-gara hilangkan pensil warna

By
|
Kongsi
image

MELAKA 5 Nov - Sepasang suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap anak angkat lelaki berusia sembilan tahun yang dipercayai disiram air panas dan dicucuh pemetik api hanya kerana kehilangan pensil warna di sekolah, bulan lalu.

Menurut laporan Malaysiagazette, perintah reman terhadap lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya berusia 24 tahun, seorang suri rumah, dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bermula hari ini hingga 10 November ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas bapa saudara mangsa datang ke rumah adiknya di Batu Berendam pada malam 30 Oktober lalu dan mendapati kanak-kanak itu mengalami lecur di jari tangan kanan serta parut lama di kaki.

“Isteri pengadu dimaklumkan oleh suspek wanita bahawa dia menyiram tangan kanan anaknya dengan air panas pada 29 Oktober lalu sebagai hukuman kerana menghilangkan pensil warna di sekolah.

"Selain itu, kaki mangsa juga pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suaminya pada Ogos lalu,” katanya.

Sumber berkata, pengadu kemudian datang semula ke rumah pasangan itu pada 31 Oktober bersama bapanya dengan alasan mahu membawa mangsa keluar bersiar-siar, sebelum kanak-kanak itu menceritakan kejadian sebenar.

“Mangsa mendakwa jarinya direndam dalam air panas hingga melecur dan turut menunjukkan parut di kaki akibat dicucuh pemetik api,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan tindakan adik dan adik iparnya itu, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu.

Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan pasangan itu tengah hari semalam bagi membantu siasatan.

 

 

+ - reset