TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

11 terbunuh pesawat kargo pesawat UPS terhempas, enjin tercabut ketika berlepas di Kentucky

By
|
Kongsi
image

 

 

KENTUCKY, AMERIKA SYARIKAT 6 Nov - Sekurang-kurangnya 11 individu termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas sebuah pesawat kargo milik syarikat penghantaran antarabangsa UPS terhempas tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali di Louisville, petang Selasa.

Insiden tragis itu turut mencetuskan letupan besar dan kebakaran dahsyat, menyebabkan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara sekitar lapangan terbang.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear, dalam sidang media memaklumkan jumlah korban dijangka meningkat, manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan serius termasuk akibat terbakar, terkena serpihan logam dan terhidu asap.

“Tiga anak kapal turut disahkan antara yang terkorban,” katanya sambil mengesahkan darurat negeri telah diisytiharkan bagi mempercepatkan pengagihan sumber bantuan melalui Agensi Pengurusan Kecemasan dan Pengawal Kebangsaan Kentucky.

Enjin Tercabut Ketika Berlepas

Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), pesawat jenis MD-11F itu mengalami kerosakan teruk apabila enjin kiri terbakar dan tercabut dari sayap sejurus pesawat memecut di landasan sekitar jam 5.15 petang waktu tempatan (10.15 malam GMT).

Rakaman CCTV menunjukkan pesawat berkenaan sempat terangkat dan melepasi pagar lapangan terbang sebelum ia menjunam dan merempuh beberapa premis perniagaan berhampiran, mengakibatkan kebakaran besar.

Pasukan penyiasat kemudiannya berjaya menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan (kotak hitam) untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Mangsa, Premis dan Operasi Menyelamat

Setakat ini, 16 keluarga telah melaporkan kehilangan ahli keluarga, termasuk dua pekerja bengkel kenderaan yang terjejas akibat rempuhan. Jumlah pelanggan di premis berhampiran semasa kejadian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg, berkata landasan lapangan terbang telah dibuka semula bagi membolehkan operasi penerbangan disambung, sementara operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan.

Pesawat kargo itu dilaporkan membawa 38,000 gelen (144,000 liter) bahan api untuk penerbangan sejauh 6,920 kilometer ke Hawaii, yang turut menyumbang kepada kebakaran besar selepas terhempas.

Menurut wakil Kongres Kentucky, Morgan McGarvey, kebakaran berkenaan menyebabkan kawasan sekitar kelihatan seperti “hujan minyak” akibat tumpahan bahan api.

Letupan turut memusnahkan sekurang-kurangnya dua premis berhampiran, termasuk sebuah syarikat kitar semula petroleum.

Ketua Jabatan Bomba Louisville, Brian O’Neal, menyifatkan tumpahan bahan api itu sebagai “situasi yang sangat berbahaya”, manakala Ketua Polis Louisville, Paul Humphrey, berkata kawasan nahas akan kekal dikawal rapi selama beberapa hari bagi tujuan keselamatan.

Latar Pesawat dan Respons Syarikat

Pesawat MD-11F yang terlibat dibina oleh McDonnell Douglas sebelum syarikat itu bergabung dengan Boeing pada 1997. Ia mula beroperasi sebagai pesawat penumpang bersama Thai Airways kira-kira 34 tahun lalu, sebelum diserap ke dalam armada UPS pada 2006.

Syarikat FedEx dan UPS sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memulakan proses persaraan pesawat MD-11dalam dekad akan datang sebagai langkah pemodenan armada.

Dalam kenyataan rasmi, Boeing menzahirkan komitmen untuk membantu siasatan dan menyokong pelanggan mereka, manakala UPS melahirkan rasa sedih mendalam terhadap tragedi itu serta menghentikan sementara operasi penyusunan bungkusan di pusat utama mereka, Worldport, malam kejadian.

 

 

 

 

 

+ - reset