TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Saifuddin dedah 133,400 Rohingya berdaftar di Malaysia, 6,294 dalam depoh imigresen

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Nov – Seramai 133,400 etnik Rohingya didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, manakala 6,294 lagi direkodkan berada dalam tahanan di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah pendaftaran itu berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga 30 September lalu.

Menurutnya, jumlah etnik Rohingya dalam tahanan pula adalah daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga 31 Oktober lalu.

Beliau menjelaskan, penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi proses pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan dan pengeluaran dokumen perjalanan.

"Hingga 31 Oktober lalu, 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini, termasuk 1,476 tahanan warga Myanmar yang sudah dihantar pulang pada 29 September lalu melalui operasi penghantaran pulang secara berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

"Bagaimanapun, rekod penghantaran pulang berkenaan adalah berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya etnik.

"Oleh itu, angka berkenaan tidak merujuk secara khusus kepada jumlah etnik Rohingya yang dihantar pulang," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah terkini pelarian Rohingya di Malaysia, termasuk yang dihantar pulang ke Myanmar sepanjang tahun ini.

Lim turut meminta penjelasan mengenai cara mereka memasuki Malaysia serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kelemahan yang membolehkan kemasukan berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam rundingan serta penyelarasan bersama kerajaan Myanmar.

Kerjasama itu khususnya bagi mempercepat pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula warga Myanmar oleh negara asal.

"Kerjasama ini penting bagi memastikan pelaksanaan penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara selamat, tersusun dan bertanggungjawab, selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara modus operandi kemasukan warga asing secara tidak sah yang dikenal pasti ialah penggunaan laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

Menurutnya, pergerakan itu membabitkan rangkaian sindiket penyeludupan migran serantau yang mengatur perjalanan merentas sempadan dari Myanmar atau Bangladesh, termasuk melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia.

"Bagaimanapun, laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod oleh pihak berkuasa.

"Daripada aspek tanggungjawab kawalan sempadan negara, pelaksanaannya membabitkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa serta kawasan tanggungjawab masing-masing," katanya.

+ - reset