TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

'Boleh bawa masuk 2 sahaja', 58 iPhone dari Malaysia dimusnahkan di Indonesia

By
|
Kongsi
image

JAKARTA 9 NOVEMBER - Bunyi dentuman di pekarangan pejabat Bea Cukai Aceh apabila puluhan iPhone yang masih elok, namun gagal memenuhi syarat kemasukan ke Indonesia, dihancurkan satu demi satu.

Sebanyak 58 unit telefon pintar jenama Apple yang dibawa masuk dari Malaysia dimusnahkan pihak berkuasa di Banda Aceh pada 23 September lalu. 

Alat komunikasi itu sebelum ini disita daripada penumpang di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda.

Tindakan tegas tersebut diambil kerana jumlah peranti yang dibawa melangkaui had yang dibenarkan undang-undang kastam Indonesia. 

Peraturan di negara itu menetapkan setiap pelancong atau penumpang dari luar negara hanya boleh membawa masuk paling banyak dua unit peranti komunikasi, termasuk telefon bimbit, komputer riba dan tablet.

Dalam kes ini, bilangan iPhone yang dibawa jauh melebihi kuota berkenaan. 

Barangan itu seterusnya dianggap sebagai import terlarang kerana tiada kelulusan perdagangan yang sah.

Selepas dirampas, kesemua telefon tersebut tidak lagi menjadi milik individu terbabit. 

Status peranti itu ditukar kepada Barang Milik Negara (BMMN) sebelum dimusnahkan secara terbuka dengan cara diketuk menggunakan palu di pejabat Bea Cukai Aceh.

Pada masa sama, pihak kastam mengingatkan bahawa peranti dari luar negara wajib didaftarkan nombor IMEI di kawasan kastam sebaik tiba di Indonesia. 
Langkah itu penting bagi mengelakkan telefon berkenaan disekat oleh operator telekomunikasi tempatan.

Kes itu menjadi peringatan kepada pengembara yang kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia agar lebih berhati-hati dengan had barangan dibawa masuk, supaya tidak berdepan risiko kehilangan harta benda akibat melanggar peraturan.

+ - reset