TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Belum bayar pampasan pada penduduk kampung, lelaki nekad robohkan bangunan kerajaan

By
|
Kongsi
image

XI'AN 10 NOVEMBER – Suasana tenang di sebuah kompleks pejabat kerajaan berhampiran bandar ini bertukar kecoh apabila seorang lelaki memandu jengkaut menerjah masuk dan merempuh bangunan itu tanpa henti selama hampir sejam, sebelum dia ditahan polis.

Kejadian di wilayah Shaanxi itu tular di pelbagai platform media sosial apabila rakaman video memaparkan jentera berat tersebut menghentak pintu masuk, memecahkan daun pintu dan menghancurkan cermin tingkap bangunan pusat perkhidmatan kerajaan berkenaan.

Berdasarkan rakaman yang tersebar, lengan jengkaut itu berulang kali dihayun ke arah struktur bangunan sehingga bahagian hadapannya rosak teruk. Kakitangan dan pengunjung yang berada di dalam premis dikatakan bergegas keluar bagi menyelamatkan diri ketika kerosakan semakin parah.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Polis turut memaklumkan suspek berjaya diberkas sejurus dia menghentikan perbuatannya.

"Suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan pihak polis, seperti dilaporkan media tempatan.

Motif sebenar lelaki itu belum dimuktamadkan secara rasmi. Namun, beberapa portal berita China mengaitkan tindakan nekad tersebut dengan pertikaian berhubung bayaran pampasan yang didakwa belum dijelaskan kepada penduduk kampung berhampiran. Ada juga laporan menyebut kemarahan suspek berpunca daripada gaji yang tidak dibayar selepas dia terlibat dalam sebuah projek pembinaan.

Perkara yang turut mencuri perhatian ramai ialah video kejadian itu tidak dipadam daripada platform media sosial di negara berkenaan, walhal kandungan sensitif yang membabitkan agensi kerajaan lazimnya ditapis dengan ketat. Hingga kini, rakaman berkenaan terus tersebar luas dan mengundang pelbagai reaksi warganet.

"Dia sanggup bertindak sejauh itu, pasti ada sesuatu yang menekan dirinya," tulis seorang pengguna dalam ruang komen, mewakili pandangan sebahagian netizen yang bersimpati dengan nasib pekerja dan penduduk terbabit.

Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai isu tuntutan gaji dan pampasan di China, yang sering menjadi punca ketegangan antara pekerja atau penduduk kampung dengan pihak berwajib.

Siasatan masih diteruskan bagi menentukan sebab tepat kejadian serta pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap suspek.

+ - reset