TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM perkenal subjek ‘Alam dan Manusia’ perkukuh asas dan karakter murid

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan mata pelajaran baharu dikenali sebagai Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu dalam Kurikulum Persekolahan 2027, khusus bagi murid Tahap 1 sekolah rendah.

Mata pelajaran itu bertujuan memperkukuh kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) di samping membentuk karakter murid sejak peringkat awal persekolahan.

Menurut kenyataan KPM, subjek berkenaan menggabungkan pelbagai disiplin ilmu termasuk Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni Visual, selain turut memuatkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan digital.

“Mata pelajaran baharu ini akan menggantikan subjek Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada,” jelas kenyataan itu.

KPM menjelaskan, pelaksanaan pengajaran bagi mata pelajaran ini akan menggunakan pendekatan pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’, iaitu dua guru mengajar dalam satu kelas.

Kaedah itu membolehkan guru saling melengkapi antara satu sama lain dalam menyampaikan isi pelajaran, sekali gus memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran murid.

“Pada Tahap 1, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter. Oleh itu, jumlah mata pelajaran diminimumkan bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa pendekatan co-teaching merupakan salah satu pembaharuan utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang memberi penekanan terhadap pembelajaran bersepadu.

Fadhlina berkata, strategi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta memberi ruang kepada guru untuk lebih kreatif dan interaktif.

Pendekatan baharu ini juga akan membolehkan pelbagai disiplin ilmu digabungkan dalam satu sesi pembelajaran bagi meningkatkan kefahaman dan minat murid terhadap pelajaran.

+ - reset