TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AKPS mulakan pengambilan veteran ATM secara berperingkat mulai Januari 2026

By
|
Kongsi
image

SEPANG 6 Nov – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal memulakan pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan, sebaik sahaja peruntukan Belanjawan 2026 disalurkan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pengambilan itu dijangka dapat dimulakan mengikut jadual dan akan dilaksanakan secara fasa.

“Secara prinsipnya, kita menjangkakan pengambilan veteran tentera dapat dimulakan pada Januari tahun depan. Proses pengambilan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Mohd Shuhaily menegaskan, memilih veteran tentera sebagai tenaga kerja baharu memberikan nilai tambah kepada AKPS kerana kumpulan itu memiliki disiplin tinggi serta pengalaman luas dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara.

“Saya percaya kelebihan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi AKPS, malah membantu mengurangkan kos latihan dan perbelanjaan operasi keseluruhan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses pengambilan akan mengikut model yang digunakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ia bukan lantikan tetap dalam perkhidmatan awam,” tegasnya.

Sebelum ini, AKPS diperuntukkan 220 perjawatan baharu dengan keutamaan diberikan kepada veteran ATM bagi memperkukuh kawalan sempadan negara bermula tahun hadapan.

Pengambilan veteran itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 sebagai komitmen kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk negara.

+ - reset