Berita Berita
Trump puji kecekapan keselamatan Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
CYBERJAYA 6 Nov – Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan lalu, khususnya dari segi keselamatan, mendapat pujian pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kekaguman Trump terhadap keupayaan pasukan keselamatan negara dinyatakan ketika lawatan rasmi Presiden AS itu ke Malaysia semasa penganjuran sidang kemuncak berkenaan.
Malah, menurutnya, Trump turut menyatakan hasrat untuk bertemu sendiri dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi.
“Kejayaan pasukan kita keseluruhannya, termasuk pasukan keamanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kecekapan semasa lawatan Presiden AS dan Premier China, Li Qiang, menyebabkan mereka kagum dengan tahap kecekapan pasukan keselamatan kita.
“Saya (masih) ingat, Presiden Trump minta kebenaran nak jumpa Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap pasukan keselamatan kita yang sangat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Di luar penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Trump turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai dikenali ‘KL Peace Accord’ antara Thailand dan Kemboja, sebagai langkah rasmi menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kejayaan Malaysia menguruskan lawatan pemimpin dunia turut menarik perhatian antarabangsa.
“Tadi, saya ada mesyuarat di pejabat (Perdana Menteri) dengan salah satu kumpulan pelaburan terbesar dunia dari New York. Mereka sudah mempunyai beberapa pelaburan awal di sini.
“Namun kini mereka merasakan dengan perhatian global dan kejayaan pasukan kita, mereka benar-benar kagum bukan sahaja dengan infrastruktur, tetapi juga dengan keupayaan kita,” katanya.
Berita berkaitan
November 6, 2025, 4:19 pm
'Beri modal kecil, tapi mengharap hasil besar' - Tun M kecewa Malaysia kurang hargai penyelidikan
November 6, 2025, 4:06 pm
Kesihatan pulih, Anwar tampil cergas selepas alami sakit belakang
November 6, 2025, 3:59 pm
AKPS mulakan pengambilan veteran ATM secara berperingkat mulai Januari 2026
November 6, 2025, 3:48 pm
Wanita ditahan kerja cetus kekecohan, tuduh polis ugut lelaki Pakistan ketika pemeriksaan
November 6, 2025, 2:48 pm
S.I.R.A.T 2025 bakal himpun ratusan belia India Muslim di Butterworth pada 22 November Ini
November 6, 2025, 2:22 pm
KPM perkenal subjek ‘Alam dan Manusia’ perkukuh asas dan karakter murid
November 6, 2025, 12:25 pm
Tiga pasangan termasuk janda ditahan berkhalwat di kondominium mewah Johor Bahru
November 6, 2025, 12:18 pm
