TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Beri modal kecil, tapi mengharap hasil besar' - Tun M kecewa Malaysia kurang hargai penyelidikan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov - Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan yang disifatkannya tidak menghargai nilai sebenar penyelidikan dan pembangunan (R&D), meskipun sektor itu menjadi tunjang kepada inovasi dan kemajuan negara maju.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia hanya memperuntukkan jumlah kecil untuk R&D, namun mengharapkan hasil besar daripada universiti dan institusi penyelidikan tempatan satu pendekatan yang menurutnya tidak akan membawa kemajuan sebenar.

“Saya fikir kerajaan kita tidak menghargai nilai sebenar penyelidikan. Di Korea Selatan, Samsung sahaja menggaji lebih 10,000 penyelidik, ramai daripadanya berkelulusan PhD.

"Tapi di Malaysia, kita beri peruntukan kecil kepada universiti dan mengharap hasil besar. Itu tidak akan berlaku. Kita perlu melabur lebih besar dalam penyelidikan jika mahu inovasi sebenar,” tegasnya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika sesi “Fireside Chat” sempena Persidangan Hari Ahli Malaysia Oil, Gas and Energy Services Council (MOGSC) di Hotel Crowne Plaza, di sini, Rabu lalu.

Bertemakan “Journey of Nation Building through Oil and Gas Industry”, beliau berkongsi pandangan mengenai bagaimana Malaysia memanfaatkan sumber minyak dan gas dalam proses pembangunan nasional sejak awal kemerdekaan.

Dalam sesi itu, Dr. Mahathir menekankan bahawa kejayaan Malaysia membangunkan sektor tenaga, khususnya menerusi PETRONAS, banyak dipacu oleh pengurusan strategik serta kebebasan operasi syarikat itu.

Namun, beliau mengingatkan bahawa industri petroleum tidak boleh kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara selama-lamanya, sebaliknya Malaysia perlu mula beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Kita mesti faham bahawa industri petroleum tidak boleh kekal menjadi tulang belakang ekonomi selama-lamanya.
Tenaga boleh diperbaharui adalah hala tuju masa depan.
Kita perlu meneroka solar, angin dan kuasa ombak. Dengan penyelidikan mendalam, Malaysia boleh mencipta peluang baharu,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan menyokong PETRONAS dalam usaha penyelidikan tenaga baharu dengan menyalurkan modal dan dana yang mencukupi.

“Kerajaan mesti bantu PETRONAS jalankan R&D dan suntik modal besar ke dalamnya. Hanya melalui penyelidikan kita boleh kekal berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengingatkan supaya PETRONAS tidak terlalu bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang bersifat turun naik, sebaliknya memperkukuh kedudukan melalui inovasi dan kepelbagaian sumber tenaga.

“Harga petroleum tidak akan kekal statik ia akan naik dan akan turun. Sekarang sedang menurun walaupun naik sedikit kebelakangan ini.
Tapi kita tidak boleh biarkan PETRONAS bergantung pada harga minyak,” tegasnya.

Beliau berkata, antara langkah terbaik ialah meningkatkan pengeluaran dan meneroka pasaran luar, memandangkan rizab minyak negara tidak besar.

“Kita perlu lihat ke seluruh dunia. Saya gembira PETRONAS kini meneroka Brazil dan Mexico, serta terlibat dalam loji pencairan gas di Mesir.
Mereka mesti terus mempelbagaikan sumber dan tidak bergantung semata-mata pada harga gas,” katanya.

Dr. Mahathir yakin PETRONAS masih mempunyai masa depan cerah, walaupun dunia beralih daripada penggunaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada tenaga bersih seperti elektrik dan hidrogen.

“PETRONAS mesti meneroka sumber tenaga baharu seperti elektrik dan hidrogen. Walaupun dunia kurang bergantung pada ICE, PETRONAS akan terus berjaya jika berinovasi dan mempelbagaikan portfolionya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan PETRONAS di peringkat global berpunca daripada kebebasan pengurusannya, walaupun dimiliki kerajaan.

“PETRONAS dimiliki kerajaan, tetapi diurus secara profesional. Sektor swasta memahami perniagaan dengan lebih baik dan itu kekuatan sebenar PETRONAS,” katanya. - Media Telus

 

 

+ - reset