TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penganggur ditahan cabul ibu tunggal di Kluang

By
|
Kongsi
image

KLUANG 7 Nov – Seorang penganggur ditahan selepas disyaki mencabul seorang ibu tunggal dalam kejadian di dua lokasi berasingan sekitar bandar ini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 3.36 petang semalam daripada mangsa berusia lewat 40-an.

“Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 petang di dalam kereta milik mangsa.

“Sebelum itu, mangsa dan suspek yang kedua-duanya tidak bekerja berkenalan menerusi media sosial sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek pada pukul 4 pagi semalam.

Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, selain ujian saringan air kencingnya didapati negatif daripada pengaruh dadah.

Menurut Bahrin, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Kluang turut membenarkan suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (tablet DCC).

+ - reset