TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kadar pengangguran belia menurun kepada 6.5 peratus tahun lalu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Nov – Kadar pengangguran belia berumur antara 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan kepada 6.5 peratus tahun lalu berbanding 6.7 peratus pada 2023, menurut laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Penurunan itu turut selari dengan kadar pengangguran nasional yang menyusut kepada 3.2 peratus daripada 3.4 peratus bagi tempoh sama.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, meskipun kadar pengangguran belia dilihat tinggi, ia merupakan trend biasa di kebanyakan negara memandangkan golongan tersebut baru menamatkan pengajian dan berdepan kesukaran mendapat pekerjaan kerana kurang pengalaman.

“Kerajaan sentiasa proaktif dan berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk golongan belia serta menyokong pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN–Pasir Puteh) mengenai strategi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam mengurangkan pengangguran belia yang masih lebih tinggi berbanding kadar nasional, terutama dalam konteks keperluan tenaga berkemahiran tinggi untuk sektor kecerdasan buatan.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Kesuma melalui agensi di bawahnya turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan setaraf kelayakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, Kesuma melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut menyediakan program Insentif Latihan Amali (ILHAM) bagi membantu bakat baharu serta merancakkan pertumbuhan sektor pekerjaan.

TalentCorp juga memberi tumpuan kepada pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara.

Pada masa sama, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menawarkan 112 program sepenuh masa di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan di 33 institusi latihan jabatan tenaga manusia (ILJTM) seluruh negara. JTM turut memperluaskan program separuh masa melalui kursus jangka pendek (KJP) secara bersemuka, dalam talian dan hibrid bagi memberi peluang latihan kepada pekerja sedia ada serta komuniti setempat termasuk belia.

“Kesuma komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor ekonomi negara, selaras dasar kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menetapkan penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara pada 2025.

“RMK-13 pula menetapkan jumlah pekerja asing dikurangkan kepada 10 peratus pada 2030, dan sehingga 5 peratus menjelang 2035,” katanya.

+ - reset