Berita Berita
Cadangan Nurul Izzah sebagai calon MB hanyalah alternatif, tertakluk perkenan Sultan - Amirudin
SHAH ALAM 24 Nov – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa cadangan menamakan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai calon Menteri Besar hanyalah satu pilihan alternatif dan bukan keputusan muktamad.
Beliau berkata, cadangan itu masih tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sedia ada turut layak dipertimbangkan.
“Ini hanya cadangan saya. Jika diterima, Alhamdulillah. Kalau tidak, kita cari alternatif lain. Setakat ini, semua Exco layak, antaranya (Mohd) Najwan (Halimi), (Dr Mohamad) Fahmi (Ngah), (Datuk) Borhan (Aman Shah) dan (Datuk Ir) Izham Hashim,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di sini, pada Isnin.
Amirudin dalam nada berseloroh turut berkata kontroversi yang tercetus berpunca daripada kekeliruan orang ramai yang hanya melihat tajuk tanpa memahami konteks.
“Sebenarnya cadangan itu untuk penggal akan datang, tetapi ramai hanya tengok tajuk dan terus melompat. Saya pun tak faham,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang perubahan jawatan penting perlu dirancang secara teratur dan bukan dibuat secara tergesa-gesa. Bagaimanapun, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum membincangkan barisan pentadbiran penggal seterusnya.
“Saya antara yang hampir menamatkan dua penggal dan menghormati dasar itu walaupun tidak ditulis. Mungkin ada cabaran atau peluang baharu di peringkat lain. Tapi masa depan memerlukan perancangan, dan syaratnya perlu menang pilihan raya dahulu,” katanya.
Terdahulu, dalam program podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, Amirudin mendedahkan cadangan mengenai Nurul Izzah pernah disuarakan kepadanya. Cadangan itu juga bergantung kepada keputusan Nurul Izzah sama ada mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya akan datang.
Berita berkaitan
November 24, 2025, 9:24 pm
'Apa perkara paling teruk yang boleh berlaku? Saya tak risau tentang apa-apa' - TMJ
November 24, 2025, 8:42 pm
Air makin naik, empat laluan utama ke Shah Alam ditutup
November 24, 2025, 7:40 pm
Empat tanah runtuh, tiga pokok tumbang direkod di Kuala Lumpur susulan hujan lebat
November 24, 2025, 7:33 pm
NG MERS 999 terima lebih 60,000 panggilan sehari, operasi kekal terkawal – Teo Nie Ching
November 24, 2025, 5:06 pm
Besi ‘longshaft’ 100kg dari lori terpelanting tembus kereta, warga emas maut
November 24, 2025, 1:50 pm
‘Ini bukan main-main’: Timbalan Spekaer beri amaran kepada dua MP
November 24, 2025, 1:43 pm
