TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

NG MERS 999 terima lebih 60,000 panggilan sehari, operasi kekal terkawal – Teo Nie Ching

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Nov – Jumlah panggilan kecemasan yang diterima menerusi Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) sejak ia dilancarkan pada 15 November lalu menunjukkan angka tinggi, namun masih berada dalam keadaan terkawal, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, walaupun jumlah panggilan lebih tinggi berbanding sistem lama MERS 999, sebanyak 95 peratus panggilan berjaya dijawab dan diproses dalam tempoh lapan saat.

Menurutnya, pada hari pertama operasi NG MERS 999, sebanyak 50,000 panggilan direkodkan, berbanding purata 28,000 panggilan sehari bagi platform lama.

“Pada 16 November, jumlah panggilan meningkat kepada 60,000; 17 November (61,000); 18 November (55,000); 19 dan 20 November (38,000); 21 November (49,000); 22 November (53,000) dan semalam (Ahad) sebanyak 50,000 panggilan.

“Kami akui minggu lalu terdapat panggilan yang tidak dijawab akibat peningkatan mendadak. Namun selepas TM menambah jumlah ejen pusat panggilan, keadaan kini terkawal walaupun jumlah panggilan masih tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching berkata, kementerian sentiasa memantau prestasi sistem itu dan menggalakkan orang ramai membuat aduan sekiranya panggilan kecemasan mengalami kelewatan.

Beliau memaklumkan bahawa TM turut diarahkan untuk menghubungi semula semua panggilan yang terputus bagi memastikan pemanggil menerima bantuan sewajarnya.

“Bagi kawasan bandar dan luar bandar, tiada isu liputan. Panggilan 999 tetap boleh dibuat dan merupakan saluran utama kecemasan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ujian penerimaan pengguna (UAT) NG MERS 999 telah dilaksanakan bersama agensi penyelamat sepanjang tahun, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Kementerian Kesihatan pula menjalankan lima sesi ujian.

Mengenai aplikasi kecemasan SafeME 999, Nie Ching berkata TM sedang menambah baik proses pendaftarannya dengan penggunaan log masuk MyDigital ID bagi memudahkan pengguna. Setakat 23 November, aplikasi itu telah dimuat turun sebanyak 247,000 kali, dengan 61,000 pengguna berdaftar.

Mengulas mengenai kos keseluruhan RM1.25 bilion bagi pelaksanaan NG MERS 999, beliau berkata ia merangkumi tempoh konsesi 12 tahun – satu tahun pembangunan dan 11 tahun operasi – di bawah kerjasama awam-swasta melalui rundingan terus dengan TM berdasarkan Model Sewaan Perkhidmatan.

“Kontrak penyelenggaraan dan pengurusan operasi Sistem MERS 999 sedia ada juga dilanjutkan sehingga sistem NG MERS 999 beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2.55 bilion bagi Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2026 dengan majoriti suara bersetuju.

+ - reset