TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Besi ‘longshaft’ 100kg dari lori terpelanting tembus kereta, warga emas maut

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT 24 Nov - Sebuah perjalanan keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas besi penyambung ‘longshaft’ seberat lebih 100 kilogram tercabut daripada sebuah lori ‘tipper’ dan melantun menembusi cermin hadapan kereta dinaikinya pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Sri Bengkal, dekat Sri Gading, ketika mangsa, Juhari Murid, 63, menaiki Perodua Alza bersama beberapa ahli keluarga dari Senggarang menuju FELDA Pemanis di Segamat atas urusan keluarga.

Akibat hentaman kuat besi berkenaan, Juhari parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Isterinya, Zaina Khalid, 58, serta tiga adik mangsa termasuk pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan berselisih dengan lori terbabit sebelum komponen besi itu tercabut lalu menembusi cermin hadapan Perodua Alza.

Anak mangsa, Noor Shahin, 31, berkata beliau terkejut menerima panggilan daripada sepupu yang memaklumkan berita kemalangan itu.

"Memang dari awal hati saya berat untuk lepaskan ayah ke sana (Segamat), rupa-rupanya ia petanda saya akan kehilangan orang tersayang.

"Sebaik mendapat berita sedih itu, saya teringat rasa tidak sedap hati semalam selepas ibu memberitahu dia bersama ayah mahu ke Segamat," katanya yang bergegas dari Muar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat.

Beliau berkata, semalam dia sempat membuat panggilan video dengan ayahnya yang kelihatan gembira dan tidak sabar bertemu cucu, Mohd Aidan Rizki Firdaus yang berusia tiga bulan di Parit Simpan.

"Ayah cakap rindu cucu. Jadi saya hendak balik hari ini, tapi kepulangan saya kali ini hanya untuk menatap jenazah ayah," katanya.

Seorang lagi anak mangsa, Mohd Danis Hakim, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu atau syarikat lori terbabit.

"Saya tahu ajal dan maut ketentuan Ilahi, tetapi kejadian ini berlaku akibat kecuaian... saya tidak mahu perkara sama berulang ke atas orang lain," katanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

 

+ - reset