Berita Berita
Hakim perlu masa fikir lebih mendalam, keputusan permohonan Najib jalani hukuman penjara di rumah diketahui 5 Januari 2026
KUALA LUMPUR 24 Nov – Mahkamah Tinggi akan menentukan pada 5 Januari 2026 sama ada permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang didakwa membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah mempunyai merit atau sebaliknya.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Alice Loke Yee Ching selepas sesi hujahan panjang antara peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan serta enam responden lain.
“Saya rasa patut ambil cuti Krismas untuk berfikir dan menimbangkannya dengan lebih mendalam,” kata hakim itu.
Dalam hujahannya, Muhammad Shafee menegaskan bahawa Titah Adendum tersebut adalah sah, wujud dan sepatutnya telah dikuatkuasakan, namun mendakwa Jabatan Peguam Negara mempunyai “sejarah penafian” sejak permohonan semakan kehakiman difailkan.
Menurutnya, salinan titah berkenaan perlu diserahkan kepada pihak pembelaan memandangkan ia dikeluarkan lebih setahun lalu.
“Sedangkan, anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang.
“Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” katanya.
Bagaimanapun, Shamsul berhujah bahawa jika tahanan rumah seperti dimaksudkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu mahu dilaksanakan, ia seharusnya diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, selaras dengan Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan kesahihan apabila titah tersebut tidak dibawa dan tidak diputuskan dalam mesyuarat lembaga.
“Susulan itu, Lembaga Pengampunan tidak dapat memberikan nasihat yang diwajibkan di bawah Perkara 42(9).
“Titah Adendum tidak dikeluarkan mengikut kerangka prosedur yang betul seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9), oleh itu ia tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang,” jelasnya.
Najib memohon perintah mandamus bagi mengarahkan kerajaan dan pihak berkaitan menjelaskan serta mengesahkan kewujudan dokumen bertarikh 29 Januari 2024, selain melaksanakan titah tersebut jika ia sah.
Permohonan itu turut merangkumi perpindahan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan supaya kes kembali ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit selepas menolak rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pembuktian tambahan berkaitan Titah Adendum.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak Ogos 2022 setelah sabitan kes pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Hukuman asal 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun selepas keputusan Lembaga Pengampunan pada awal 2024, manakala dendanya diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Berita berkaitan
November 24, 2025, 9:24 pm
'Apa perkara paling teruk yang boleh berlaku? Saya tak risau tentang apa-apa' - TMJ
November 24, 2025, 8:42 pm
Air makin naik, empat laluan utama ke Shah Alam ditutup
November 24, 2025, 7:40 pm
Empat tanah runtuh, tiga pokok tumbang direkod di Kuala Lumpur susulan hujan lebat
November 24, 2025, 7:33 pm
NG MERS 999 terima lebih 60,000 panggilan sehari, operasi kekal terkawal – Teo Nie Ching
November 24, 2025, 5:06 pm
Besi ‘longshaft’ 100kg dari lori terpelanting tembus kereta, warga emas maut
November 24, 2025, 3:47 pm
Cadangan Nurul Izzah sebagai calon MB hanyalah alternatif, tertakluk perkenan Sultan - Amirudin
November 24, 2025, 1:50 pm
‘Ini bukan main-main’: Timbalan Spekaer beri amaran kepada dua MP
November 24, 2025, 1:43 pm
