TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki warga emas ditemui mati selepas beli basikal baharu

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 2 Dis – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di kawasan kaki lima sebuah premis di Kampung Tapang, di sini, selepas pulang daripada membeli basikal baharu, hari ini.

Anak mangsa, Lim Hon Shian, 20-an, berkata bapanya, Lim Lai Tiong, 63, ditemui terbaring kira-kira pukul 10 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran basikal baharu yang dibeli pada harga RM900.

Menurut Hon Shian, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari selepas dihubungi ibu saudaranya.

“Mendiang bapa akan keluar rumah awal pagi setiap hari. Kami tidak sedar dia keluar pagi tadi.

“Apabila saya tiba di lokasi kejadian, saya menjumpai resit pembelian basikal bersamanya. Dia menunggang basikal baharu itu dan saya tidak tahu di mana dia tinggalkan basikal lamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, saksi kejadian, Tuan Mazli Tuan Yaacob, 49, berkata dia berada di kawasan kedai berkenaan sekitar pukul 10 pagi sebelum dimaklumkan oleh pemilik premis mengenai seorang lelaki yang terbaring di atas kaki lima.

“Kami melihat mangsa sudah meninggal dunia dengan wajah pucat kebiruan dan terdapat darah keluar dari hidungnya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata laporan lanjut akan menyusul.

+ - reset