TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agong sebak rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, terkenang Almarhum Tunku Abdul Jalil

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 5 Dis – Majlis perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin hari ini bertukar sebak apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dilihat menahan emosi ketika montaj khas memperingati anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim ditayangkan.

Montaj itu memaparkan rakaman kenangan penuh kasih sayang antara Almarhum dan keluarga diraja Johor, bersempena memperingati 10 tahun pemergian Almarhum yang meninggal dunia akibat kanser hati pada 5 Disember 2015 ketika berusia 25 tahun.

Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang dirasmikan hari ini menempatkan fasiliti rawatan terkini termasuk PET-CT Scanner, Linear Accelerator, Cyclotron, Theranostics dan Terapi Gen, serta terletak berhadapan Perpustakaan Sultan Ismail.

Sultan Ibrahim berangkat tiba pada jam 8.57 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah; Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta Che’ Puan Mahkota Khaleeda. Turut berangkat beberapa kerabat diraja Johor lain termasuk Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut hadir.

“Dengan ini, saya merasmikan pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor,” titah baginda sebelum menandatangani plak perasmian dan menyempurnakan pelancaran logo pusat berkenaan.

Terdahulu, Pengarah Hospital Tunku Laksamana Johor, Dr William Chong berkata pusat rawatan baharu itu diwujudkan untuk memastikan rakyat Johor, tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan terbaik.

“Kami komited menyediakan rawatan canggih untuk semua lapisan masyarakat, khususnya Bangsa Johor. Golongan berpendapatan rendah tidak akan diabaikan. Masa, ruang dan sumber akan disediakan secukupnya untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan hospital itu bakal dilengkapi mesin siklotron baharu untuk memperkukuh rawatan kanser di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata pelancaran pusat berkenaan merupakan langkah besar bagi memperkasa sektor perubatan negeri dan seterusnya merancakkan pelancongan perubatan di Johor.

Majlis perasmian ditutup dengan pelancaran logo rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor dan penandatanganan plak.

+ - reset