TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar bakal umum rombakan kecil kabinet selepas rundingan dengan ketua parti

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 5 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan rundingan bersama ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan sebelum beliau mengumumkan rombakan kecil Kabinet dalam masa terdekat.

Anwar berkata, meskipun beliau mempunyai prerogatif penuh dalam membuat keputusan membabitkan pelantikan menteri, amalan demokrasi menuntut pandangan ketua parti tetap diambil kira.

“Dia (jawatan menteri) ada kekosongan, biar saya runding. Betul ia budi bicara atau wewenang Perdana Menteri untuk mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Tapi seperti biasa dalam proses demokrasi dan menghormati pandangan kawan-kawan, saya akan mendengar pandangan ketua parti. Keputusan muktamad akan saya buat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, hari ini.

Rombakan kecil, isi jawatan kosong

Sebelum ini, Anwar memaklumkan rombakan Kabinet yang bakal dibuat hanya bersifat kecil dan melibatkan pengisian beberapa kekosongan jawatan menteri.

Menurut beliau, langkah itu dibuat kerana tempoh fungsi Kabinet di bawah pentadbirannya hanya berbaki kira-kira satu setengah tahun sebelum penggal semasa berakhir.

Beberapa kementerian kosong

Media sebelum ini melaporkan pengumuman rombakan dijangka dibuat awal Disember susulan beberapa kekosongan portfolio:

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – selepas tempoh Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berakhir.

  • Kementerian Ekonomi – kosong selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli.

  • Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam – kosong selepas Datuk Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan.

  • Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi – kosong selepas Datuk Ewon Benedick turut meletak jawatan pada 8 November lalu.

Rombakan kecil ini dijangka memberi tumpuan kepada pengisian portfolio berkenaan bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

+ - reset