TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sindiket dadah guna upah RM5,000 setiap perjalanan tumpas dalam dua serbuan serentak

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 5 Dis – Sindiket pengedaran dadah yang menawarkan upah antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap perjalanan kepada pengangkut akhirnya tumpas selepas polis melakukan dua serbuan serentak pada 1 Disember lalu.

Sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun ini dikesan mengatur rangkaian operasi secara terancang, termasuk menempatkan runner, transporter dan sweeper untuk memastikan laluan pergerakan dadah bebas daripada pemantauan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata hasil risikan membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun yang dipercayai beroperasi dari Perlis hingga ke Lembah Klang.

“Suspek dipercayai menerima upah lumayan untuk membawa masuk dan mengangkut bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Serbuan pertama: 374kg dadah dirampas

Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir bawah tanah sebuah pasar raya di Petaling Jaya, lokasi transaksi utama sindiket.

Dalam pemeriksaan, polis menahan lima suspek serta merampas sebuah Toyota Alphard dan dua Perodua Myvi.

Turut ditemukan:

  • 273 kilogram methamphetamine (263 bungkusan dalam 17 guni)

  • 101 kilogram ketamin (98 bungkusan dalam enam guni)

Serbuan kedua: sweeper ditahan di R&R

Serbuan kedua di perkarangan stesen minyak R&R Simpang Pulai, Perak membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.

“Tiada dadah ditemukan bersama suspek keenam, namun peranannya sebagai sweeper sangat penting kerana dia memastikan laluan sindiket selamat daripada kehadiran polis,” kata Hussein.

Struktur sindiket tersusun

Menurut beliau, peranan suspek dibahagikan seperti berikut:

  • Seorang bertindak sebagai runner

  • Empat sebagai transporter

  • Seorang lagi sebagai sweeper

Lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk seorang dengan 12 rekod, manakala dua dikesan positif dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 2 hingga 8 Disember bagi siasatan lanjut.

Nilai sitaan RM13.9 juta

Polis turut menyita tiga kenderaan — Nissan Navara, Mitsubishi Pajero dan Proton X70 — bernilai RM140,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM13.9 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat ke Hotline JSJN: 012-208 7222.

+ - reset