TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kabinet bimbang insiden kematian dalam tahanan, Anwar arah laporan terperinci polis

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 5 Dis – Kabinet menzahirkan kebimbangan berhubung aduan insiden kematian dalam tahanan serta kes tembakan membabitkan suspek penjenayah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyediakan laporan terperinci, telus dan profesional kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat.

“Kita tidak melindungi penjenayah, dan kita juga tidak melindungi tindakan termasuk oleh anggota polis yang bertentangan dengan proses negara hukum.

“Beberapa aduan mengenai perkara yang bercanggah dengan proses dan prosedur teratur harus disiasat secara telus dan terbuka,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, hari ini.

Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan polis meneruskan siasatan secara telus dan tidak melindungi sesiapa dalam usaha membanteras jenayah.

“Umpamanya, kematian dalam tahanan atau soal penembakan, saya tidak campur dalam urusan bagaimana ia harus dilaksanakan. Tetapi saya gusar sekiranya dianggap beberapa peraturan tidak dipatuhi,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengulangi arahan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan tindakan terhadap pengkritiknya, selagi ia tidak membabitkan kesalahan jenayah jelas.

“Beberapa tindakan terhadap pengkritik kerajaan, termasuk serangan terhadap saya, saya sudah arahkan tidak perlu disiasat — melainkan tuduhan keterlaluan seperti memfitnah sebagai barua Israel atau menyentuh soal penyakit.

“Kritikan terhadap Anwar atau Perdana Menteri, termasuk desakan letak jawatan, itu perkara biasa dan tidak perlu PDRM layan,” katanya.

Sebelum ini, PDRM menegaskan pihaknya memandang serius setiap kes kematian dalam tahanan dan akan menjalankan siasatan menyeluruh mengikut prosedur ditetapkan, termasuk merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Kanun Tatacara Jenayah serta Arahan Amalan Bilangan (2) Tahun 2019.

+ - reset