TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AirAsia umum seragam baharu, benarkan kru kabin berhijab mulai 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Dis – AirAsia bakal melaksanakan pembaharuan penting dalam polisi pakaian seragamnya apabila membenarkan kru kabin wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas, satu langkah yang mencerminkan komitmen syarikat terhadap kepelbagaian dan keselesaan pekerja.

Seragam baharu itu dijangka diperkenalkan pada suku pertama 2026 bersempena Ramadan, dengan tujuan memberi lebih fleksibiliti sambil mengekalkan identiti profesional jenama berkenaan. Warna merah ikonik masih dikekalkan, kini ditambah pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional, sepertimana uniform yang digunakan kru bagi laluan Jeddah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, penambahbaikan tersebut selaras dengan perkembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global yang mempunyai tenaga kerja daripada pelbagai latar belakang.

“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan, dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan pula menegaskan bahawa Allstars — panggilan bagi kakitangan AirAsia — datang daripada pelbagai budaya dan kepercayaan.

“Polisi terkini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan kepelbagaian dalam kalangan Allstars sebagai antara kekuatan utama AirAsia sejak dahulu.

“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai. Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun,” ujarnya.

+ - reset