TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas hilang kawalan, 14 penumpang terselamat dalam insiden di KM428 Lebuh Raya Utara-Selatan

By
|
Kongsi
image

HULU SELANGOR 5 Dis – Seramai 14 penumpang melalui detik cemas apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 428.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.49 pagi apabila Unit Siasatan Lebuh Raya menerima makluman mengenai kemalangan membabitkan bas dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, berkata bas terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bas Tuas, Johor menuju ke Pantai Remis, Perak, sebelum hilang kawalan ketika melalui lorong kanan daripada tiga lorong lebuh raya.

“Siasatan awal mendapati pemandu hilang kawalan sebelum bas terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu serta 14 penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penumpang menaiki bas ganti

Ibrahim berkata, semua penumpang kemudian menaiki bas ganti untuk meneruskan perjalanan, manakala lorong kanan dan lorong tengah ditutup bagi kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan.

Siasatan diteruskan

Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

Polis turut meminta saksi membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Anuar Alang Kamarudin di talian 03-2266 3356 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular video 15 saat memaparkan bas berkenaan tersadai di lorong kanan lebuh raya sebelum ditunda keluar dari lokasi kejadian.

+ - reset