Berita Berita
Ayob Khan tolak desakan mansuh undang-undang keselamatan
KUALA LUMPUR 10 Dis - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa undang-undang keselamatan sedia ada masih menjadi benteng utama negara dalam menghadapi ancaman pengganas, ekstremisme dan sabotaj, sekali gus menolak desakan pihak tertentu yang mahu undang-undang pencegahan dimansuhkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sebarang usaha melemahkan rangka perundangan keselamatan hanya akan membuka ruang kepada ancaman serius terhadap keselamatan awam.
Beliau menegaskan, masyarakat tidak seharusnya terlalu terpengaruh dengan sentimen hak asasi hingga mengabaikan keperluan menjaga keselamatan negara.
Menurutnya, keseimbangan perlu diwujudkan antara hak asasi dan tanggungjawab mempertahankan keamanan negara.
Sehubungan itu, Ayob menegaskan bahawa tuntutan supaya undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)dimansuhkan adalah tidak wajar.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan terburu-buru menghapuskan undang-undang pencegahan boleh membawa padah, terutama jika negara berdepan serangan pengganas besar-besaran.
"Malaysia beruntung kerana mempunyai pegawai dan anggota Cawangan Khas yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menangani ancaman sabotaj di negara ini selepas serangan ke atas Amerika Syarikat (AS), pada 11 September 2001.
"Kita bernasib baik kerana ketika itu masih mempunyai ISA, satu-satunya undang-undang pencegahan dan pemulihan amat berkesan dalam menangani ancaman ke atas keselamatan negara sejak merdeka.
"Kejayaan Cawangan Khas dalam membongkar aktiviti kumpulan Jemaah Islamiah (JI) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
"Serangan digagalkan Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA, tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban," katanya menerusi kenyataan di Facebook, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan ancaman sabotaj oleh JI antaranya melibatkan serangan ke atas saluran paip air Johor Bahru–Singapura, serangan bom kenderaan di Pusat Imigresen Woodlands, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta serangan terhadap rangkaian restoran makanan segera di Lembah Klang.
Ancaman turut menyasarkan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dan Singapura serta kapal perang negara itu di perairan republik tersebut.
Ayob berkata, tindakan agresif Cawangan Khas ketika itu berjaya menghalang serangan besar-besaran JI di Malaysia melalui tangkapan anggota kanan mereka.
"Rancangan serangan Pusat Imigresen Woodland Singapura, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Pusat Hiburan di Lembah Klang dan kedutaan asing di Kuala Lumpur tergendala ekoran tangkapan besar-besaran anggota kanan JI.
"Perancang utama JI seperti Riduan Hisamudin @ Hambali; Mukhlas, Dr Azahari, Nordin Mohd Top dan lain-lain melarikan diri ke luar negara.
"Mereka inilah yang kemudiannya merancang dan melancarkan siri serangan besar-besaran di Indonesia bermula Oktober 2002," katanya.
Ayob turut menambah bahawa undang-undang pencegahan bukanlah unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya turut diamalkan di banyak negara lain.
"Singapura dan Brunei juga masih mengekalkan ISA. AS masih ada Akta Patriot. Begitu juga di Indonesia, India, Perancis, Australia dan lain-lain negara Barat," katanya.
Berita berkaitan
December 10, 2025, 12:47 pm
Menu Malaysia-India 'mendunia', Mano Thevar jadi cef Malaysia pertama raih dua bintang Michelin di Singapura
December 10, 2025, 12:06 pm
LRT Laluan Shah Alam tidak akan beroperasi tahun ini – Prasarana
December 10, 2025, 12:01 pm
Tiga remaja ditahan kes samun pemandu e-hailing di Johor Bahru
December 10, 2025, 11:57 am
Dua penghuni maut dalam kebakaran rumah di Taman Teluk Air Tawar
December 10, 2025, 11:50 am
Tiga lelaki jatuh laut di Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam
December 10, 2025, 11:49 am
Lelaki warga Bangladesh masuk tandas wanita di Terminal Bas Kulai ditahan
December 10, 2025, 11:28 am
UMNO masih bersedih, belum sedia bincang pengganti Bung
December 10, 2025, 11:13 am
Lelaki warga asing mengamuk guna senjata di pangsapuri di Kepong
December 10, 2025, 10:59 am
