TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tetap komited cari anak Indira Ghandi - Ketua Polis Negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Dis - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen penuh untuk mematuhi setiap arahan mahkamah serta meneruskan pencarian anak perempuan M Indira Gandhi yang dilarikan bekas suaminya sejak hampir 17 tahun lalu, susulan pertemuan antara Ketua Polis Negara dan aktivis berkenaan isu itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail, berkata jaminan itu disampaikan terus kepada Indira ketika pertemuan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang semalam, yang turut dihadiri dua lagi anak Indira; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), M Kulasegaran; serta Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT), Arun Dorasamy.

Menurut Khalid, pertemuan itu memberi ruang kepada semua pihak menyampaikan harapan dan permintaan agar pencarian dipertingkatkan, termasuk permintaan khusus Kulasegaran supaya PDRM terus memberikan sokongan kepada Indira.

Khalid berkata, PDRM sentiasa terbuka menerima maklumat orang awam mengenai keberadaan bekas suami Indira dan dua anak mereka.

"PDRM kekal komited, sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah, termasuk dalam melaksanakan usaha berterusan bagi mengesan anak Indira Gandhi mengikut lunas undang-undang."

"PDRM mengalu-alukan sebarang maklumat awam bagi membantu proses pengesanan. Segala maklumat diterima akan diteliti secara profesional dan diambil tindakan mengikut prosedur siasatan yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, Arun dan Kulasegaran turut meminta agar usaha pencarian dipergiat dan sokongan kepada Indira diteruskan.

Khalid menegaskan bahawa setiap tindakan PDRM akan dijalankan secara berintegriti, profesional dan mengikut peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Indira mendakwa beliau kecewa dengan hasil pertemuan semalam kerana masih tiada perkembangan signifikan mengenai usaha mengesan anaknya, Prasana.

Pertemuan itu diadakan susulan perhimpunan ‘March for Justice’ dari Sogo KL ke Bukit Aman pada November lalu.

+ - reset