TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan ingat rakyat lupa' - Netizen tuntut janji Adam Adli mansuh hutang PTPTN selepas dilantik Timbalan Menteri KPT

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Pelantikan Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menarik perhatian meluas orang ramai, khususnya dalam kalangan mahasiswa dan graduan muda.

Adam Adli, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan bekas aktivis mahasiswa, kini menggalas tanggungjawab membantu menerajui kementerian yang mengurus tadbir institusi pengajian tinggi, kebajikan pelajar serta dasar pembiayaan pendidikan negara.

Namun, seiring pengumuman pelantikan itu, media sosial dibanjiri reaksi netizen yang mengaitkan pelantikan beliau dengan janji pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) satu isu yang pernah menjadi antara perjuangan utama beliau sebelum menyertai pentadbiran kerajaan.

Seorang netizen berpandangan, pelantikan Adam Adli ke Kementerian Pendidikan Tinggi membuka ruang lebih besar untuk merealisasikan reformasi yang telah lama dituntut mahasiswa.

“Bila Adam Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, kami harap isu PTPTN bukan sekadar janji lama. Ini masa terbaik untuk buktikan perubahan sebenar. Jangan ingat kami lupa,” tulis seorang pengguna media sosial.

Nada serupa turut dizahirkan graduan lain yang menggesa agar janji terdahulu diterjemahkan kepada tindakan dasar.

“Dulu lantang cakap mansuh hutang PTPTN, sekarang sudah berada dalam kementerian yang berkaitan. Netizen tunggu tindakan, bukan retorik,” menurut seorang lagi netizen.

Dalam masa sama, terdapat juga pandangan lebih sederhana yang menggesa pendekatan realistik dan berperingkat, mengambil kira kedudukan kewangan negara.

“Kami tak minta mansuh semua serta-merta, tapi mesti ada penyelesaian adil. Adam Adli faham suara mahasiswa sebab beliau lahir daripada gerakan mahasiswa,” kata seorang graduan.

Pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri KPT adalah sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini, yang bertujuan memperkukuh keberkesanan pentadbiran kerajaan serta mempercepat pelaksanaan agenda reformasi, termasuk dalam sektor pendidikan tinggi.

Sebelum ini, Adam Adli pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan dikenali sebagai antara tokoh muda yang konsisten menyuarakan isu kos pendidikan, kebajikan pelajar serta keadilan sosial dalam wacana nasional.

Sehubungan itu, pelantikan beliau ke KPT dilihat sebagai peluang untuk membawa perspektif generasi muda secara lebih langsung ke dalam pembentukan dasar pendidikan tinggi, termasuk isu kebolehpasaran graduan dan model pembiayaan yang lebih mampan.

Bagaimanapun, netizen menegaskan bahawa pelantikan itu turut datang bersama jangkaan tinggi.

“PTPTN bukan isu kecil. Kalau tak mampu mansuh sepenuhnya, sekurang-kurangnya reform sistem bayaran balik. Ini ujian pertama untuk Adam Adli,” tulis seorang lagi netizen.

Tumpuan kini terarah kepada langkah awal dan pendirian rasmi Adam Adli selepas mengangkat sumpah jawatan, khususnya dalam menangani isu pembiayaan pendidikan yang terus membelenggu ramai graduan muda di negara ini. - Media Telus

 

+ - reset