TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Selangor tegur Ahli Parlimen berkelakuan biadab di Dewan Rakyat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Dis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur Ahli-Ahli Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik dan mengingatkan mereka supaya mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.

Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir wakil rakyat yang terjerumus dalam pertengkaran, jerit-menjerit serta tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.

“Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.

Sultan Sharafuddin bertitah, Ahli Parlimen yang berkelakuan sedemikian sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun sebaliknya “mereka berkelakuan seperti pembuli”.

Bulan lalu, dua Ahli Parlimen diarahkan keluar dewan selepas berlaku pertengkaran mulut, manakala beberapa insiden kekecohan turut berlaku sepanjang tahun ini akibat kemarahan yang memuncak.

Dewan Rakyat mesti tunjuk wacana matang

Tuanku menegaskan Dewan Rakyat seharusnya menjadi contoh wacana demokrasi yang matang.

“Ahli Parlimen perlu berbahas dan berhujah secara berilmiah serta mengemukakan idea yang membina. Tidak perlu bersikap kasar atau menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain.

“Kedangkalan sedemikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru Ahli Parlimen mengekalkan adab, berbahas dengan tertib dan memperlihatkan kematangan.

Baginda menegaskan, walaupun tidak berniat mencampuri urusan perjalanan Dewan Rakyat kerana ia di bawah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan, perlakuan tidak wajar dalam dewan memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan dan menjadi contoh tidak baik kepada generasi muda.

“Tetapi sebagai seorang Raja, beta perlu menyuarakan pandangan dan kebimbangan beta,” titah baginda sambil menekankan bahawa perbezaan pendapat harus diselesaikan melalui kewarasan, hujah yang baik dan pendekatan berhemah.

+ - reset