Berita Berita
Rosmah kekal bebas, pendakwaan tarik balik rayuan kes pengubahan wang haram
KUALA LUMPUR 12 Dis - Prosiding rayuan terhadap pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan kegagalan mengisytiharkan pendapatan kini berakhir selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan yang difailkan sebelum ini.
Menurut Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 9 Disember lalu, Pendakwa Raya memaklumkan tidak lagi berhasrat meneruskan cabaran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada semua pertuduhan berkenaan.
Notis itu menyebut bahawa walaupun pendakwaan pada 20 Disember tahun lalu telah mengemukakan notis rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, pihaknya kini memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan tersebut.
Berdasarkan pemakluman Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, tarikh pengurusan kes yang dijadualkan pada 22 Disember ini turut dilapangkan, dan rayuan terbabit dianggap terbatal selaras Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Keputusan asal oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan), membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua pertuduhan atas alasan ia tidak berasas serta tiada unsur kesalahan dikemukakan dalam tuduhan berkenaan.
Rosmah, 74, memfailkan permohonan tersebut pada September 2023, sebelum perbicaraan bermula pada 12 Disember tahun lalu dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan.
Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sementara itu, lima pertuduhan lain melibatkan kegagalan mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017, seperti diwajibkan mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:06 pm
Kanak-kanak maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Alor Gajah
December 17, 2025, 1:03 pm
Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA
December 17, 2025, 12:58 pm
Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta
December 17, 2025, 12:31 pm
Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah
December 17, 2025, 11:42 am
Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil
December 17, 2025, 11:22 am
Puad Zarkashi gesa tetapkan KPI menteri, beri tempoh 100 hari
December 17, 2025, 11:15 am
Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC
December 17, 2025, 11:09 am
Tujuh Menteri angkat sumpah jawatan susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani
December 17, 2025, 10:08 am
