TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guan Eng kemuka 10 tuntutan kepada Perdana Menteri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Dis – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengemukakan 10 tuntutan yang disifatkannya sebagai isu nasional penting kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui sepucuk surat setebal lima muka surat, Ahli Parlimen Bagan itu menekankan beberapa perkara yang pernah dibangkitkannya sebelum ini, antaranya meminta peruntukan 10 peratus diberikan kepada kaum bukan Bumiputera berbanding peruntukan besar yang selama ini diterima kaum Bumiputera, serta mendesak penyelesaian segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Bekas Menteri Kewangan itu turut meminta kerajaan menjalankan kajian bagi mengecualikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada pelaksanaan e-invois. Sebagai langkah sementara, beliau mencadangkan ambang hasil tahunan perniagaan dinaikkan kepada RM5 juta.

“Ini harus disegerakan kerana peraturan e-invois akan dikuatkuasakan kepada perniagaan berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta mulai Januari 2026,” katanya.

Guan Eng turut menggesa Perdana Menteri mengkaji semula atau membekukan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu kerana didakwa meningkatkan kos operasi, terutama bagi PKS.

Beliau juga menuntut kerajaan menghentikan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus untuk pekerja asing yang dianggap membebankan majikan.

Selain itu, katanya, cukai 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 sepatutnya dikenakan hanya kepada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Guan Eng turut menggesa kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bagi menyelesaikan bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026.

Dalam tuntutan lain, beliau mendesak kerajaan memansuhkan penalti RM10,000 yang dikenakan kepada majikan yang gagal memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu kepada Perkeso, kerana didakwa membebankan.

Beliau juga meminta kerajaan mewajibkan 50 peratus barangan keperluan diambil daripada pengeluar tempatan, di samping mengenakan 10 peratus SST ke atas bijih besi import dan tempatan, arang batu kok metalurgi serta kok, serta memansuhkan SST ke atas sekerap keluli.

+ - reset