TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tan Sri Megat Najmuddin meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Dis – Tokoh korporat dan veteran politik, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun, malam ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarga terdekat, Shafinaz Suhaimi ketika dihubungi Bernama.

Menurut keluarga, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada jam 9 pagi esok untuk urusan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Terdahulu, berita kematian Allahyarham turut dikongsikan oleh anak saudaranya, Puteri Kamaliah Megat Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook. Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya.

Megat Najmuddin merupakan figura berpengaruh yang aktif dalam arena politik dan korporat negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelana Jaya, Selangor selama dua penggal bermula 1986.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Anggota Lembaga Disiplin UMNO serta Pengerusi Lembaga Tatatertib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam sektor korporat, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Farm Fresh Berhad, Pengerusi Asian Pac Holdings Berhad serta Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Plantation Berhad.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang politik dan korporat.

+ - reset