Berita Berita
KPM mansuh SPL KPM, kurangkan beban tugas guru
BUKIT MERTAJAM 14 Dis – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPL KPM) sebagai sebahagian komitmen berterusan kementerian itu bagi mengurangkan beban tugas guru.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut dibuat selepas KPM meneliti pelbagai intervensi yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk mengenal pasti kekurangan serta keperluan sebenar dalam menangani isu beban kerja guru secara berterusan.
“Ini susulan komitmen kita untuk terus mengurangkan beban guru. Kita telah melaksanakan pelbagai intervensi dan menilai kekurangan serta pendekatan terbaik bagi memastikan isu ini ditangani secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, di sini, pada Ahad.
Menurut Fadhlina, sebelum ini KPM telah mengumumkan penambahbaikan terhadap Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), manakala pemansuhan SPL KPM pula dijangka memberi kesan langsung kepada kebajikan guru serta pengurangan beban kerja mereka.
“Setiap perkara yang berpotensi mengurangkan beban guru akan diteliti secara serius dengan mengambil kira impak keseluruhan kepada warga pendidik,” katanya.
Beliau berkata, SPL KPM sering dibangkitkan dalam kalangan guru kerana dianggap mengganggu fokus terhadap tugas hakiki mereka di dalam bilik darjah.
“Guru-guru mahukan ruang untuk menumpukan sepenuhnya kepada pengajaran tanpa terikat dengan urusan pentadbiran yang menjejaskan tugas utama,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, bermula tahun hadapan KPM mahu guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah, khususnya melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu serta pelan pembangunan pendidikan yang sedang dirangka.
Fadhlina menegaskan, pemansuhan SPL KPM adalah antara usaha konsisten kementerian untuk memberikan keyakinan kepada guru selain memastikan pengurangan beban tugas dapat dilaksanakan secara berperingkat.
“Insya-ALLAH, dengan penambahbaikan prasarana, sokongan berterusan kepada guru serta pemansuhan beberapa keperluan lain, kita akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan guru dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu juga diharap dapat mengembalikan fokus guru kepada murid serta memperkukuh proses PdP yang sebenar, selaras dengan hasrat KPM untuk memantapkan reformasi pendidikan di dalam bilik darjah.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:06 pm
Kanak-kanak maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Alor Gajah
December 17, 2025, 1:03 pm
Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA
December 17, 2025, 12:58 pm
Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta
December 17, 2025, 12:31 pm
Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah
December 17, 2025, 11:42 am
Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil
December 17, 2025, 11:22 am
Puad Zarkashi gesa tetapkan KPI menteri, beri tempoh 100 hari
December 17, 2025, 11:15 am
Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC
December 17, 2025, 11:09 am
Tujuh Menteri angkat sumpah jawatan susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani
December 17, 2025, 10:08 am
