TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendekatan bina infrastruktur baharu KPM jadi game changer atasi sekolah padat

By
|
Kongsi
image

BUKIT MERTAJAM 14 Dis – Pendekatan pembinaan infrastruktur baharu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) disifatkan sebagai ‘game changer’ dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada Mei 2025 menunjukkan keberkesanan ketara apabila kebanyakannya berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 20 sekolah menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah dibangunkan bagi mengurangkan kesesakan sekolah melalui kerjasama strategik antara KPM dan JKR.

“Di peringkat KPM dan JKR, kita sudah memulakan pelaksanaan pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah siap 100 peratus. Ini merupakan antara reformasi penting KPM dalam aspek pembangunan dan infrastruktur pendidikan negara.

“Alhamdulillah, pendekatan ini memberi kesan langsung dan bagi saya merupakan satu ‘game changer’ dalam soal infrastruktur pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, projek berkenaan melibatkan sebanyak 127 pembinaan di seluruh negara, dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara.

Katanya, tempoh pembinaan yang singkat membuktikan pendekatan IBS berkenaan bersifat praktikal, berkesan dan sesuai untuk diperluaskan ke kawasan lain.

“Hanya mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan dan ini menunjukkan pendekatan ini antara yang paling efektif setakat ini bagi mengatasi isu sekolah padat dan kelas padat,” ujarnya.

Menurut beliau, KPM merancang untuk melaksanakan projek sama secara lebih besar-besaran pada tahun hadapan selain memastikan kemudahan kelas yang dibina digunakan sepenuhnya bermula sesi persekolahan baharu.

“Insya-ALLAH, pada tahun hadapan kita akan melaksanakannya secara lebih menyeluruh dan memastikan kelas-kelas ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila sekolah baharu dibuka,” katanya.

+ - reset