TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

''Terpaling juara' kritik RXZ Members, isu pemandu mabuk kamu senyap pula!' - Dr Akmal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Dis - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa orang ramai supaya bersikap adil dan berhemah dalam mengkritik perhimpunan motosikal RXZ baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa tindakan segelintir penunggang tidak bertanggungjawab tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan acara itu. 

Menurutnya, beliau bersetuju bahawa peserta yang melanggar peraturan lalu lintas, termasuk melanggar lampu isyarat merah atau menunggang melawan arus trafik, wajar ditegur dan dikritik kerana perbuatan sedemikian membahayakan nyawa. 

"Saya bersetuju bahawa mereka yang melanggar undang-undang jalan raya perlu dikritik dan ditegur kerana ia membabitkan keselamatan penunggang serta pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan. 

Bagaimanapun, Akmal berkata adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa keseluruhan perhimpunan itu bersifat negatif hanya disebabkan tindakan segelintir individu. 

"Untuk membuat penghakiman secara menyeluruh bahawa perhimpunan RXZ ini adalah sesuatu yang buruk sepenuhnya adalah sesuatu yang saya tidak setuju. 

"Dalam kalangan puluhan ribu yang hadir, berapa ramai sebenarnya yang melanggar undang-undang? Saya percaya jauh lebih ramai yang menunggang secara berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya. 

Semalam, DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membenarkan pelanggaran undang-undang. 

Dalam satu kenyataan, pengerusinya Khoo Poay Tiong berkata, program RXZ Members Ride yang diadakan di negeri itu telah menyebabkan gangguan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program "RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025" berjaya menarik lebih 70,000 pengunjung ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh sepanjang dua hari penganjurannya bermula Jumaat lalu. 

Beliau berkata, acara berkenaan turut mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi utama pelancongan sukan permotoran selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat. 

Akmal turut menekankan manfaat ekonomi yang dijana melalui penganjuran acara itu, termasuk peningkatan tempahan hotel serta pendapatan peniaga kecil, selain menyediakan peluang untuk meraikan minat dan semangat komuniti peminat motosikal. 

"Dalam setahun yang mempunyai 365 hari, kita hanya memperuntukkan dua hari untuk rakan-rakan yang meminati dunia permotoran berkumpul dan diraikan," katanya. 

Beliau turut membuat perbandingan dengan musim perayaan, di mana masyarakat lazimnya memahami dan bertoleransi terhadap gangguan tertentu seperti bunyi mercun pada Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau Tahun Baharu Cina, selagi ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain.

+ - reset