Berita Sukan
Kem badminton negara masih perlukan Rexy Mainaky – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR 15 Dis – Kem badminton negara masih memerlukan sentuhan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky, meskipun gagal mencapai sasaran pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, prestasi di Sukan SEA itu bukan kegagalan individu semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan serta kepimpinan persatuan.
Menurut beliau, walaupun sasaran pingat emas tidak tercapai, skuad badminton negara tetap menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya meraih sembilan pingat keseluruhan, melepasi sasaran awal tujuh pingat.
Lebih membanggakan, katanya, kem badminton negara turut menghadiahkan pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama selepas enam tahun, sekali gus membuktikan pembangunan bakat negara berada pada landasan yang betul.
“Saya menghargai keterbukaan Rexy dan pendirian saya jelas, kita masih memerlukan beliau.
“Sukan SEA 2025 bukan pentas yang mudah buat kita. Kita mengakui kelemahan dan menerima hakikat bahawa tidak semua sasaran dapat dicapai.
“Dalam sukan, keputusan di gelanggang tidak boleh disorok. Ia menuntut kejujuran, keberanian dan tanggungjawab bersama. Kita menang sebagai satu pasukan dan apabila tewas, kita juga bertanggungjawab bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Semalam, Rexy menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab sepenuhnya termasuk mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan susulan kegagalan skuad badminton negara, khususnya dalam acara beregu, mencapai sasaran di Sukan SEA Thailand.
Pada kejohanan itu, Malaysia hanya meraih satu pingat emas menerusi beregu wanita, Pearly Tan dan M. Thinaah, berbanding sasaran empat emas yang ditetapkan.
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala beregu campuran juara dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, sekadar membawa pulang pingat gangsa.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan pengalaman serta falsafah pembangunan tidak boleh dinilai berdasarkan satu kejohanan sahaja kerana pembinaan skuad kebangsaan adalah proses jangka panjang.
Tambahnya, kegagalan di Sukan SEA tidak menafikan kejayaan besar kem badminton negara sepanjang tahun ini, termasuk kejayaan muncul juara dunia beregu campuran dan pencapaian bersejarah beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia.
“Sukan SEA Thailand memberi pengajaran yang sangat berharga. Kita akan belajar, memperbaiki kelemahan dan bangkit dengan lebih matang.
“Ini bukan noktah, sebaliknya batu loncatan. Sebagai Presiden BAM, komitmen saya kekal untuk membina badminton Malaysia atas asas yang kukuh dan kejayaan jangka panjang. Perjalanan ini belum selesai. Kita akan terus melangkah bersama,” katanya.
Berita berkaitan
January 16, 2026, 10:57 am
Pan-gon akui Selangor FC perlu kejar standard JDT demi Liga-M lebih kompetitif
January 10, 2026, 10:41 pm
Tengku Zafrul dedah BAM belanja RM55 juta setahun, rancang ketelusan kontrak pemain
January 6, 2026, 10:58 am
JDT akui prestasi belum terbaik tanpa Arif Aiman
January 3, 2026, 4:32 pm
Arif Aiman ranking keempat dunia statistik gelecekan, satu-satunya wakil Asia
December 24, 2025, 5:05 pm
FAM buat laporan polis dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan
December 19, 2025, 7:54 pm
Malaysia cipta rekod baharu 221 pingat Sukan SEA di luar Kuala Lumpur
December 18, 2025, 11:18 pm
Sukan SEA: Kabaddi lelaki lakar sejarah raih emas sulung
December 17, 2025, 6:33 pm
Sukan SEA: Miki Ghazali tumpaskan Thailand, hadiahkan emas buat negara acara Muay Thai 57kg
December 17, 2025, 1:31 pm
FIFA isytihar Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1
December 15, 2025, 10:42 am
