TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UEC bukan syarat kemasukan universiti ternama China – Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Dis - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan syarat kemasukan ke universiti-universiti ternama di China.

Menurut beliau, perkara itu dibuktikan hasil rundingan yang diadakan bersama beberapa universiti terkemuka China seperti Universiti Tsinghua, Universiti Peking dan Universiti Shanghai Jiao Tong baru-baru ini.

“Dalam perundingan saya dengan universiti-universiti ternama China seperti Tsinghua, Peking dan Shanghai Jiao Tong University, sijil UEC bukan merupakan syarat kemasukan.

“MARA kini mula menghantar pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ke universiti-universiti berkenaan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga sebagai satu keperluan, selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Jelasnya, antara bahasa ketiga yang ditawarkan termasuk bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea.

Katanya, pelajar MRSM yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM serta menguasai salah satu bahasa tersebut akan diberikan keutamaan untuk tajaan melanjutkan pengajian ke universiti-universiti terkemuka dunia.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan generasi teknokrat dan profesional yang menguasai bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta bahasa ketiga seperti Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Perancis atau Sepanyol,” katanya.

Tambah beliau, penguasaan pelbagai bahasa diyakini mampu memperkukuh pemindahan teknologi dan kepakaran, selain membuka peluang jaringan ekonomi dan perniagaan antarabangsa dengan negara-negara maju pada masa hadapan.

“Insya-Allah, usaha ini akan membolehkan generasi akan datang bergerak lebih jauh di peringkat global dengan kelebihan penguasaan pelbagai bahasa,” katanya.

+ - reset