TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dr Maza yakin polis ada maklumat gerakan kultus asal Korea Selatan aktif di Malaysia

By
|
Kongsi
image

 

KANGAR 15 Dis – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan keyakinan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai maklumat berkaitan dakwaan kewujudan gerakan kultus menyimpang yang berasal dari Korea Selatan dan didakwa aktif di negara ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau bagaimanapun tidak memberikan respons secara langsung terhadap gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya tampil menyerahkan maklumat berhubung kegiatan itu, dengan alasan sedang mempertimbangkan beberapa isu lain yang turut menjadi perhatiannya.

"Di samping itu, saya percaya pihak Cawangan Khas Bukt Aman tentu mempunyai maklumat mengenai hal ini. Team (Pasukan) penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul," katanya.

Mohd Asri berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang isu terhadap kepelbagaian aliran atau agama untuk hidup bersama di negara ini mahupun di peringkat global.

"Kepelbagaian atau kerencaman cara fikir, kefahaman dan kepercayaan adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan manusia di dunia ini.

"Namun begitu, mengiktiraf kepelbagaian tidak semestinya bermaksud kita mengiktiraf kebenaran yang terkandung dalam kepelbagaian itu.

"Walaupun begitu, setiap pihak yang aman, menyakiti atau berpotensi besar mengancam pihak lain boleh hidup bersama dan kita tidak membantah hak untuk wujud bersama, sekali pun mungkin kita tidak mengiktiraf dari segi akidah isi kandungan kepercayaan terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ajaran berteraskan kultus lazimnya merujuk kepada pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga menyingkirkan akal dan pertimbangan rasional.

"Ajaran kultus biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta," katanya.

"Tokoh yang mengkultuskan diri sering mengemukakan dakwaan luar biasa berkaitan unsur ketuhanan atau kehebatan rohani, termasuk mendakwa mendapat perlantikan Ilahi, memiliki keajaiban atau menerima pengiktirafan ghaib yang sukar dibuktikan," katanya.

Menurut beliau, ajaran sedemikian berpotensi melahirkan pengikut fanatik yang sanggup bertindak di luar batas, sekali gus boleh menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara.

"Hal ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa supaya tidak sampai ke tahap di luar kawalan dan mengakibatkan kemudaratan kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Asri memaklumkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersama pasukan penyelidik telah mengumpulkan bahan dan menyediakan kajian berkaitan isu berkenaan sebagai langkah pencegahan dan panduan.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian serius termasuk dari aspek pemantauan dan siasatan bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terpelihara.

Pada 11 Disember lalu, Saifuddin dilaporkan menggesa Dr Mohd Asri supaya segera tampil menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan gerakan kultus menyimpang yang berasal dari Korea Selatan dan didakwa aktif di negara ini.

+ - reset