TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes buang bayi, sumbang mahram: Adik lelaki dipercayai OKU lembam - Polis

By
|
Kongsi
image

 

BESUT 15 Dis - Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes sumbang mahram dan pembuangan bayi di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja di sini pada Ahad dipercayai seorang orang kurang upaya (OKU) lembam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh mengesahkan perkara itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurut beliau, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah direman bermula Isnin hingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini, belum ada ahli keluarga lain atau saksi dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Md Sani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan berhubung kesalahan sumbang mahram, iaitu hubungan seks antara individu yang tidak dibenarkan berkahwin menurut hukum agama.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan seorang bayi lelaki di belakang sebuah rumah di kawasan berkenaan membongkar kes sumbang mahram dipercayai membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan adik lelakinya.

Hasil siasatan mendapati bayi yang dilahirkan secara rahsia itu adalah hasil hubungan terlarang remaja perempuan berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

Bayi tersebut dipercayai dibuang oleh suspek sebelum ditemui oleh seorang penghuni rumah di kawasan itu.

 

+ - reset