Berita Berita
Malaysia perlu lebih 3 juta lembu menjelang 2040 demi keterjaminan makanan
KUALA LUMPUR 16 Dis - Malaysia dijangka memerlukan lebih tiga juta ekor lembu menjelang 2040 bagi menampung keperluan bekalan daging dan tenusu domestik, sejajar usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, pembangunan industri ruminan negara menjadi antara fokus utama kementerian dalam perancangan jangka panjang bagi memperkukuh sektor agromakanan melalui penerapan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan dron bagi meningkatkan produktiviti.
“Dalam tempoh 2021 hingga 2025, kita melihat sumbangan sektor ini agak besar dan untuk masa depan, kadar sara diri (SSR) disasarkan mencecah 50 peratus pada 2030.
“Pada tahun ini, negara mempunyai kira-kira 886,000 ekor lembu, namun menjelang 2030 kita memerlukan lebih tiga juta ekor lembu bagi memastikan agenda keterjaminan makanan tercapai, khususnya dalam sektor ruminan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia: MADANI Perkasa Pertanian, Kukuh Ekonomi Negara yang disiarkan di Bernama TV semalam.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk program pembiakan baka, pengimportan lembu serta pelaksanaan skim fidlot bagi mencapai sasaran berkenaan.
Selain itu, Isham berkata, bagi menyokong industri ternakan ayam dan haiwan ruminan secara mampan, kementerian turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan.
Menurutnya, sebelum ini Malaysia mengimport sepenuhnya jagung bijian, namun tahun ini negara memulakan penanaman dengan sasaran pengeluaran sekitar 1.25 juta tan setahun bagi kegunaan makanan haiwan.
Beliau berkata pendekatan tersebut selari dengan agenda keterjaminan makanan negara yang memerlukan perancangan jangka panjang berteraskan inovasi, termasuk kerjasama dengan negara luar dalam pertukaran teknologi dan amalan pertanian serta pengukuhan rantaian bekalan.
Isham turut menjelaskan penggunaan teknologi AI dalam sektor akuakultur dan aplikasi dron dalam aktiviti pertanian mampu mengoptimumkan penggunaan input, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan kecekapan pengeluaran, sekali gus menyokong kelestarian sektor agromakanan.
Sementara itu, beliau berkata sektor perikanan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dengan sumbangan sekitar RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca dan musim Monsun Timur Laut.
Mengulas Belanjawan 2026, Isham berkata peruntukan yang disediakan kerajaan mencerminkan komitmen berterusan terhadap sektor pertanian sebagai sektor strategik negara.
“Subsidi pertanian amat penting bagi menstabilkan harga makanan, menjamin bekalan serta memastikan kelangsungan hidup petani, pesawah dan nelayan,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM6.87 bilion kepada sektor pertanian, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global.
Selain itu, peruntukan RM2.63 bilion turut disediakan bagi pelbagai subsidi termasuk subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih, insentif pengeluaran padi serta bantuan kepada pesawah, sekali gus merekodkan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah.
Isham berkata, penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda keterjaminan makanan negara memandangkan majoriti pengusaha pertanian kini berusia lebih 60 tahun.
Melalui pelbagai skim geran dan sokongan keusahawanan, beliau berkata hampir 4,000 usahawan tani berjaya dilahirkan, dengan lebih 30 peratus daripada mereka memperoleh pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.
Dalam perkembangan lain, Isham berkata penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan dimanfaatkan sebagai platform untuk menarik pelaburan, menjalin kerjasama strategik serta memperkenalkan teknologi pertanian bernilai tambah bagi memperkukuh ekosistem pertanian negara.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:06 pm
Kanak-kanak maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Alor Gajah
December 17, 2025, 1:03 pm
Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA
December 17, 2025, 12:58 pm
Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta
December 17, 2025, 12:31 pm
Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah
December 17, 2025, 11:42 am
Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil
December 17, 2025, 11:22 am
Puad Zarkashi gesa tetapkan KPI menteri, beri tempoh 100 hari
December 17, 2025, 11:15 am
Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC
December 17, 2025, 11:09 am
Tujuh Menteri angkat sumpah jawatan susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani
December 17, 2025, 10:08 am
