TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sindiket palsu cap imigresen berselindung sebalik jualan kek tumpas di Klang

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 16 Dis – Kegiatan sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang berselindung di sebalik perniagaan menjual kek terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan operasi haram itu dalam satu serbuan khas di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Andalas, Klang, pada Isnin.

Sindiket berkenaan dikesan menggunakan helah menyamar sebagai pengusaha perniagaan makanan dari rumah bagi mengaburi pihak berkuasa serta penduduk setempat, namun risikan mendapati kediaman itu sebenarnya dijadikan pusat pemalsuan dokumen perjalanan melibatkan warga asing.

Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai menggunakan peluntur bagi menghapuskan cap keselamatan lama sebelum menggantikannya dengan cap palsu yang baharu pada pasport.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata serbuan dijalankan menerusi Ops Serkap oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Selangor hasil risikan selama kira-kira dua minggu.

“Hasil pemantauan mendapati rumah terbabit bukan sahaja dijadikan tempat tinggal, malah berfungsi sebagai pusat pemalsuan cap keselamatan imigresen.

“Pasukan risikan khas mengenal pasti premis itu didiami seorang lelaki dan dua wanita, kesemuanya warganegara Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Selangor, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai aktif memalsukan cap Pas Lawatan Sosial bagi membolehkan warga asing tinggal lebih lama di negara ini secara tidak sah.

“Hasil penggeledahan menemukan tujuh pasport warganegara Vietnam, tiga cap keselamatan disyaki palsu, lapan telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai RM2,150,” katanya.

Turut disita sebuah kenderaan jenis Subaru XV berwarna putih yang dipercayai digunakan bagi pergerakan sindiket.

Khairrul Aminus berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu dan menjadikan perniagaan penghantaran makanan sebagai helah untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga asing yang mahu memanjangkan tempoh tinggal di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan pemalsuan cap Pas Lawatan Sosial.

“Mereka menggunakan cap palsu yang diubah suai dan menjalankan proses ‘mencuci’ cap bagi meminda tarikh kemasukan serta menghilangkan cap asal dalam pasport,” katanya.

Bagi mengelakkan transaksi mencurigakan, sindiket terbabit menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk menghantar pasport ke rumah pelanggan dan mengambil semula dokumen berkenaan selepas proses pemalsuan selesai.

“Bayaran dikenakan sebanyak RM400 bagi setiap cap, sama ada secara tunai atau melalui transaksi dompet elektronik,” katanya.

Tambah beliau, tiga individu berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

“Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan lanjut.

“JIM Selangor akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.

+ - reset