TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laporan kes 3 lelaki ditembak mati di Melaka dikemuka kepada Peguam Negara hari ini - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Polis akan mengemukakan laporan penuh berhubung kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka bulan lalu kepada Peguam Negara hari ini bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima jaminan daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bahawa siasatan dijalankan secara rapi, telus dan tanpa sebarang tolak ansur.

“Laporan polis dikemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Pada 24 November lalu, tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggota polis menggunakan parang dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga penjenayah terbabit menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati terhadap tindakan polis dalam kejadian tersebut.

Kejadian tembak-menembak itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi apabila seorang daripada suspek dilaporkan melibas parang ke arah seorang anggota polis, menyebabkan anggota berpangkat koperal berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan parah di lengan kiri.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1.35 juta.

 

+ - reset