Berita Berita
Imigresen gempur Jalan Klang Lama, 90 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan
KUALA LUMPUR 16 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 90 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Klang Lama di sini, malam Isnin, yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya melibatkan warga Afrika.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 9.40 malam itu hasil aduan orang awam serta risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Dalam serbuan berkenaan, seramai 131 individu diperiksa melibatkan 82 lelaki dan 34 wanita warga asing, selain 15 warganegara tempatan.
Hasil pemeriksaan mendapati, 90 individu berusia antara 21 hingga 35 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Mereka terdiri daripada warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India.
Selain itu, JIM turut mengeluarkan satu saman saksi (Borang 29) terhadap pemilik sebuah restoran di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan.
Menurut JIM, modus operandi warga asing terbabit adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti tempat letak kereta serta di premis tumpuan awam termasuk kedai makan dan restoran, sebelum menjadikan kawasan itu sebagai lokasi berhibur sehingga lewat malam.
Kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji serta melindungi PATI.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
