Berita Berita
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
KUALA LUMPUR 16 Dis – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan tular kononnya semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu telah diminta atau bertindak meletakkan jawatan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tiada asas, serta menegaskan tiada peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Exco berlaku.
Menurut beliau, pelantikan dan pemilihan semua Exco dilakukan mengikut proses sah dan berperlembagaan melalui pengundian di Kongres FAM, selaras dengan Statut FAM dan garis panduan badan induk bola sepak antarabangsa.
“Struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen bagi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara,” kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Penafian ini timbul susulan khabar angin yang tersebar selepas Mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya pada Isnin, yang dipercayai membincangkan dapatan Jawatankuasa Bebas berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu.
Jawatankuasa Bebas itu, diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, ditubuhkan tanpa membabitkan mana-mana individu FAM bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional. Difahamkan, dapatan penuh siasatan telah diserahkan kepada FAM dan bakal dibentangkan dalam sidang media.
Isu ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang menekankan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.
Untuk rekod, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM menerusi laporan setebal 64 muka surat, mengekalkan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain terbabit, termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
FAM turut mengesahkan isu berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan badan induk itu diberikan tempoh sehingga esok untuk mengemukakan dokumen berkaitan.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
