TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Dis – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang jurukimpal kontrak selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang milik anggota kumpulan pengganas Daesh, kira-kira 10 tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zairul Mahmud, 40, dan memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zairul didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta milik seorang pengganas dengan membenarkan kemasukan wang berjumlah RM10,000 serta pengeluaran RM6,000 daripada akaun bank miliknya bagi manfaat individu terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru antara 25 Februari 2015 hingga 8 Mei 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, selain boleh dikenakan perintah pelucuthakan harta yang dikendalikan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah menahan tertuduh di sebuah premis di Masai, Johor selepas menerima maklumat berhubung penglibatannya dalam aktiviti pembiayaan keganasan.

Siasatan mendapati tertuduh mengendalikan harta pengganas melalui beberapa transaksi kewangan daripada akaun bank miliknya dengan menggunakan perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada seorang lelaki yang terlibat dengan kumpulan Daesh.

Terdahulu, Mohd Zairul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan menyatakan rasa kesal serta alasan isterinya tidak bekerja dan dia menanggung empat orang anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak terlibat dalam kesalahan berkaitan keganasan.

+ - reset