Berita Berita
'Nandri, PM Anwar' - Ramanan sedia galas tugas baharu sebagai Menteri Sumber Manusia, komited perkasa tenaga kerja Malaysia
KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025 — Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu, satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi dan visi beliau untuk membina pasaran tenaga kerja yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Pelantikan beliau diumumkan bersama senarai lengkap barisan menteri dan timbalan menteri baharu dalam rombakan yang turut menyaksikan pertukaran dan pengisian jawatan di beberapa kementerian utama, termasuk pelaburan, ekonomi dan sosial, sebagai usaha kerajaan memperkukuh pentadbiran bagi menghadapi cabaran masa depan.
Penghargaan & Komitmen Ramanan
Dalam kenyataannya hari ini, Ramanan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan:
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas amanah sebagai Menteri Sumber Manusia.
“Saya juga mewakili komuniti India di negara ingin mengucapkan ‘Nandri’ (Terima kasih) kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan penghormatan dan mandat ini bagi menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan itu membawa tanggungjawab besar untuk memperkasakan tenaga kerja negara secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
“Saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan komitmen demi menjamin harapan rakyat Malaysia termasuk komuniti India dan juga negara seiring dengan gagasan Malaysia MADANI.”
Ramanan turut menyatakan hasrat untuk segera memulakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi Kementerian Sumber Manusia serta pemegang taruh lain bagi memperkukuh dasar dan pelaksanaan kementerian.
Rekod Sumbangan Sebelum Ini
Sebelum pelantikan sebagai Menteri Sumber Manusia, Ramanan mengukuhkan reputasinya sebagai wakil rakyat dan pemimpin kerajaan yang berfokus kepada pembangunan sosio-ekonomi komuniti dan usahawan.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh sejak 2022 dan sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Komuniti India (MITRA) — peranan yang memerlukan beliau mendukung suara golongan minoriti dalam perancangan dasar negara. (MYMP)
Sepanjang hampir dua tahun berkhidmat di KUSKOP, beliau mengetuai pelbagai inisiatif besar yang memberi impak nyata dalam memperkasakan keusahawanan dan ekonomi komuniti India termasuk program pembiayaan, latihan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana:
Memimpin usaha disalurkan lebih RM471.5 juta bagi memperkasakan lebih 20,000 usahawan India melalui pembiayaan, latihan dan program strategik seperti SPUMI, BRIEF-i, PENN dan Vanigham catatan prestasi yang dianggap sebagai fasa penting dalam pembangunan ekonomi komuniti itu.
Menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1.4 juta kepada lapan koperasi komuniti India di seluruh negara bagi mengukuhkan sektor koperasi dan sokongan perniagaan akar umbi.
Menerajui strategik pelaksanaan tujuh inisiatif kewangan dan pembangunan bernilai puluhan juta ringgit untuk membantu hampir 10,000 usahawan India mendapatkan modal, latihan perniagaan dan penyediaan perancangan kewangan.
Mempromosikan penglibatan usahawan tempatan dalam acara pengiktirafan seperti Business Icon Awards, di mana lebih 50 usahawan India menerima penghormatan atas pencapaian mereka, sekaligus membuka laluan rangkaian pasaran lebih luas.
Selain fokus ekonomi, Ramanan juga aktif dalam program kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Sungai Buloh melalui bantuan sosial seperti bakul makanan, khidmat kesihatan percuma serta sokongan kepada institusi pendidikan dan tempat ibadat, sejajar komitmen beliau sebagai wakil rakyat yang peka kepada keperluan komuniti setempat.
Masa Depan Tenaga Kerja & Harapan Rakyat
Pengalamannya di KUSKOP dan rekod kerja akar umbi memberi keyakinan bahawa Ramanan akan membawa pendekatan berinspirasikan keberkesanan dasar, kemampuan berunding antara kumpulan pemegang taruh serta komitmen kepada keadilan sosial ke Kementerian Sumber Manusia.
Pelantikan beliau dilihat sebagai manifestasi aspirasi kerajaan untuk melahirkan pasaran pekerjaan yang bukan sahaja responsif kepada cabaran global, tetapi juga adil kepada semua lapisan masyarakat.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
