TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 16 Dis – Isu ponteng sekolah di Melaka berada pada tahap membimbangkan apabila dianggarkan seramai 3,000 pelajar didapati tidak hadir ke sekolah setiap hari, sekali gus memberi kesan serius terhadap masa depan pendidikan mereka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, masalah itu bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah turut dihadapi oleh semua negeri di seluruh negara, menjadikannya satu gejala nasional yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Menurut beliau, antara faktor utama pelajar ponteng sekolah ialah sikap malas, kurang pemantauan daripada ibu bapa serta faktor ekonomi, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang terpaksa bekerja sambilan.

“Selain itu, terdapat pelajar yang memberi alasan sakit atau demam tanpa mengemukakan surat atau sijil cuti sakit kepada pihak sekolah.

“Ada juga kes ponteng yang berlarutan sehingga sebulan, malah ada yang mencecah dua bulan secara berjarak-jarak. Ini merupakan satu gejala tidak sihat kerana pelajar akan tercicir dan ketinggalan dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, Selasa.

Susulan itu, Rahmad memaklumkan kerajaan negeri Melaka telah mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Pendidikan Negeri Melaka bagi membincangkan langkah-langkah mengatasi pelbagai permasalahan pelajar, termasuk isu ponteng sekolah.

Katanya, sebanyak 10 resolusi telah dibentangkan untuk dibawa ke perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Antara cadangan utama ialah menarik kelayakan pelajar daripada menerima sebarang bantuan kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan, biasiswa, dermasiswa dan bantuan pendidikan lain.

“Kita berpandangan pelajar yang ponteng sekolah sehingga 30 hari setahun menunjukkan kurang minat untuk belajar. Penarikan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan kehadiran ke sekolah,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan tindakan perundangan dikenakan terhadap ibu bapa yang gagal memantau kehadiran anak-anak ke sekolah sekiranya ponteng berlaku secara berterusan.

Bagaimanapun, Rahmad menjelaskan bahawa semua cadangan itu masih di peringkat resolusi dan belum dilaksanakan, sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak kementerian.

“Ketika ini, prosedur sedia ada melibatkan penghantaran notis amaran kepada ibu bapa serta tindakan penggantungan sekolah sekiranya ponteng berlarutan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Untuk rekod, Melaka mempunyai kira-kira 161,000 pelajar dan lebih 16,000 guru di seluruh negeri, tidak termasuk pelajar tadika dan prasekolah.

 

+ - reset