TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas ekspres terbabas di PLUS Johor Bahru, empat cedera

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 27 Dis – Seorang pemandu dan tiga penumpang cedera selepas sebuah bas ekspres terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.50 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas jenis Scania berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun bersama seorang lagi pemandu kedua yang berumur sama serta membawa lima penumpang, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

“Setibanya di lokasi kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan bas mengalami kerosakan teruk, terutama di bahagian hadapan kenderaan.

Menurut Azrol Anuar, pemandu kedua mengalami kecederaan terseliuh di bahagian leher manakala tiga penumpang lain cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala pemandu utama dan dua penumpang lain disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

+ - reset