TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gegaran gempa bumi lemah di Bukit Kepong terkawal

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 28 Dis – Kerajaan Negeri Johor mengesahkan keadaan adalah terkawal susulan kejadian gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Bukit Kepong, Pagoh, Muar pada jam 8.55 pagi Ahad.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gempa bumi tersebut bermagnitud 3.4 dengan kedalaman 10 kilometer dan setakat ini tiada laporan membabitkan kecederaan atau kerosakan harta benda diterima.

Menurut beliau, kejadian itu juga tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami kepada negeri ini.

“Kerajaan Negeri Johor memandang serius aspek keselamatan rakyat. Pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang, mengelakkan berada berhampiran struktur yang tidak kukuh serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz mengajak rakyat Johor agar terus berdoa supaya negeri ini sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan dijauhkan daripada sebarang musibah serta bencana.

Sebelum ini, beberapa kejadian gegaran gempa bumi turut dilaporkan berlaku di Segamat dan Batu Pahat dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1 sejak akhir Ogos lalu.

+ - reset