TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki cedera dipukul guna pengunci stereng akibat salah faham di jalan raya

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 28 Dis – Seorang lelaki cedera di bahagian muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika memandu di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.21 petang.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berhubung insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu sehingga menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa membrek secara mengejut.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri dan mendapatkan rawatan lanjut.

Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga penganggur bagi membantu siasatan serta merampas alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Raub Selamat berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet sebelum memukul kenderaan dipercayai milik mangsa.

+ - reset