TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Aura Thalapathy Vijay luar biasa, lebih 85,000 peminat banjiri Bukit Jalil

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar lautan manusia apabila kira-kira 85,000 peminat membanjiri venue berkenaan, malam tadi, bagi menyaksikan pelancaran audio filem terbaharu aktor popular Selatan India, Vijay, Jana Nayagan.

Kehadiran aktor berusia 51 tahun itu yang juga bergelar ahli politik nyata mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.

Digelar ‘Thalapathy’, yang membawa maksud komander atau pemimpin, aura bintang besar Vijay jelas dirasai sepanjang acara berlangsung.

Menerusi entri dimuat naik Astro Ulagam di media sosial, acara pelancaran audio berkenaan turut mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR).

“Tahniah atas kejayaan mencatatkan rekod MBR bagi penyertaan terbesar dalam pelancaran audio filem Tamil yang berlangsung di Malaysia,” menurut keterangan hantaran itu.

Pada majlis tersebut, peminat turut dihiburkan dengan segmen imbas kembali lagu-lagu ikonik Vijay selain persembahan lagu-lagu baharu daripada filem Jana Nayagan.

Pelancaran audio berkenaan dianggap sebagai pencapaian penting menjelang tayangan filem itu, yang menampilkan barisan pelakon serta tenaga produksi berprofil tinggi.

Jana Nayagan diarahkan oleh H Vinoth dan diterbitkan oleh KVN Productions, dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde, Bobby Deol, Mamitha Baiju, Gautham Vasudev Menon, Prakash Raj, Narain dan Priyamani.

Majlis berprestij itu berlangsung dalam dua segmen utama, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi sebelum diteruskan dengan pelancaran audio rasmi.

Difahamkan, Jana Nayagan merupakan filem terakhir Vijay sebelum beliau beralih sepenuhnya ke arena politik.

Terdahulu, penganjur acara, Malik Streams Corporation memaklumkan Vijay berlepas dari Chennai menaiki jet peribadi sebelum mendarat di Subang Skypark pada kira-kira jam 4.30 petang. Ketibaan aktor itu mencuri perhatian ramai dan tular di pelbagai platform media sosial.

 

+ - reset