TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mohd Puad dakwa Gobind tersilap tafsir reformasi berkait kes 1MDB

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan Gobind Singh Deo tersilap sekiranya menganggap reformasi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diteruskan semata-mata bagi mengelakkan kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berulang.

Menurut beliau, Pengerusi Kebangsaan DAP itu gagal melihat secara menyeluruh motif di sebalik kes 1MDB, bermula daripada proses pertuduhan sehingga perbicaraan yang berlangsung.

Katanya, isu pokok yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan perbicaraan tidak adil, penganiayaan politik serta pendakwaan secara terpilih.

“Sekiranya kita percaya Najib bersalah sepenuhnya atas lunas undang-undang, maka kita gagal memahami konteks sebenar kes ini.

“Bukankah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyatakan pertuduhan itu terburu-buru, sarat dengan dendam dan bersifat beracun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut mempersoalkan jaminan bahawa kes seperti 1MDB tidak akan berulang, sedangkan menurutnya DAP berdiam diri terhadap kegagalan pihak berkuasa mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau juga mempersoalkan ketiadaan pendakwaan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sehingga kini.

Katanya, laporan The Edge pada 8 Mac 2021 mendakwa lebih RM700 juta dana berkaitan 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank yang dikaitkan dengan keluarga Zeti.

“Sebagai bekas Gabenor Bank Negara, adalah mustahil beliau tidak mengetahui sebarang transaksi kewangan besar, termasuk hubungan suaminya, Tawfiq Ayman dengan Jho Low dalam syarikat ADKMIC,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jaminan reformasi tidak akan bersifat selektif sekiranya terdapat pihak yang menurutnya menutup sebelah mata terhadap isu tertentu.

Mohd Puad turut mendakwa sikap selektif DAP dalam memperjuangkan isu menjadi penghalang utama kepada reformasi seperti yang disuarakan Gobind.

Katanya, DAP dilihat hanya memberi tumpuan kepada kes tertentu seperti kematian Teoh Beng Hock, namun berdiam diri dalam kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Menurut beliau, keluarga mangsa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz terpaksa berjuang sendiri sehingga kes itu akhirnya diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

+ - reset