TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL giat kerja pembersihan, persiapan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 dan Festival ‘I LITE U’

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta persiapan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 tengah malam ini, diikuti penganjuran Festival ‘I LITE U’ di ibu negara.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, DBKL memaklumkan kerja pembersihan melibatkan cucian permukaan jalan, laluan pejalan kaki serta kawasan sekitarnya bagi memastikan persekitaran berada dalam keadaan bersih, selesa dan terjaga menjelang penganjuran acara berkenaan.

Selain itu, DBKL turut berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan persiapan pemasangan pagar keselamatan serta pentas utama di lokasi berkenaan bagi sambutan malam ini dan Festival ‘I LITE U’.

“Kuala Lumpur kini semakin meriah dengan persiapan sambutan Ambang Tahun Baharu dan program ‘I LITE U’ yang dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung di kawasan tumpuan bandar raya.

“Setakat ini, kawasan tapak program berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur hasil kerja pembersihan yang telah dilaksanakan,” menurut DBKL.

Dalam pada itu, DBKL turut menyeru orang ramai agar bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan sepanjang berlangsungnya acara.

“Bagi memastikan semua pengunjung dapat menikmati suasana yang selesa, bersih dan teratur, orang ramai dinasihatkan membuang sampah ke dalam tong yang telah disediakan.

“Sama ada sampah kecil atau besar, tindakan kecil anda memberi impak besar terhadap imej bandar dan pengalaman pengunjung. Kuala Lumpur milik kita bersama, marilah kita jaga bersama,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan DBKL menerusi syarikat konsesi, Alam Flora Sdn Bhd menyediakan sebanyak 25 unit tong sampah di sekitar kawasan Bukit Bintang sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.

Menurut DBKL, tong sampah jenis MGB berkapasiti 240 liter itu ditempatkan di lokasi tumpuan dengan jarak kira-kira 50 meter antara setiap tong bagi memudahkan orang ramai menguruskan sisa secara lebih teratur.

Terdahulu, Festival ‘I LITE U’ melibatkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail dijadualkan berlangsung pada 1 Januari dari pukul 6 petang hingga 11 malam, serta pada 3 Januari dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Selain itu, penutupan penuh Jalan Bukit Bintang akan dilaksanakan sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 bermula pukul 5 petang, 31 Disember ini hingga pukul 2 pagi, 1 Januari 2026.

+ - reset